Monday, August 6, 2018

Sakit Itu Sebuah Nikmat

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Seseorang manusia itu patut berasa risau sekiranya diri mereka tidak sakit dalam jangka masa yang lama. Dalam hal ini digariskan bahawasanya sakit itu penghapus dosa dan hapusnya dosa seorang manusia itu adalah satu Rahmat kasih sayang daripada Allah سبحانه وتعالى.

Saidina Ali bin Abi Thalib رضيه الله عنه berkata, "Sungguh aku takut sekiranya diri aku ini tidak diberikan sakit oleh Allah سبحانه وتعالى, kerana aku takut Allah سبحانه وتعالى lupa dan murka ke atas aku. Maka barangsiapa yang dikurniakan pelbagai nikmat tetapi tidak sakit dalam jangka masa yang lama, maka dikhuatiri Allah سبحانه وتعالى murka ke atas mereka."

Musibah adalah penghapus dosa. Ada satu kisah, satu hari sewaktu Rasulullah ﷺ di dalam perjalanan menuju ke suatu tempat, Baginda ditemani oleh seorang lelaki. Di dalam perjalanan tersebut, tiba-tiba lelaki itu berterusan menceritakan perihal anak perempuannya kepada Rasulullah ﷺ.

Rasulullah ﷺ hanya mendengar sambil tersenyum. Kata lelaki tersebut, "Ya Rasulullah, tidak lama lagi anak perempuanku ini akan aku kahwinkan dengan seorang pemuda. Anak perempuanku ini hebat, wahai Rasulullah. Amalannya semua hebat belaka dan yang paling hebat sekali adalah anak perempuanku ini sepanjang hidupnya, dia tidak pernah sakit."

Setelah mendengar cerita daripada lelaki tersebut bahawa anaknya tidak pernah sakit, Rasulullah ﷺ berhenti daripada berjalan dan berubah muka baginda. Lalu Rasulullah berkata, "Apa betul anak kamu tidak pernah sakit?"

Lelaki itu menjawab, "Benar Ya Rasulullah, hebat sungguh." Lalu Rasulullah menjawab, "Sesungguhnya sekiranya seorang manusia itu tidak dikurniakan kesakitan ke atasnya, itu bukanlah satu kehebatan, bahkan ianya adalah satu perkara yang harus ditakuti."

"Perkara yang ditakuti kerana takut-takut ianya adalah musibah dan murka daripada Allah سبحانه وتعالى ke atas anakmu. Maka tidak ada kebaikan didalam nilai kehidupan anakmu itu. Dan apabila kita ditimpa musibah atau penyakit hendaklah kita bersabar menghadapinya."

Ada satu kisah sahabat Rasulullah ﷺ yang bernama Saidina Amran bin Hussein رضي الله عنه وأرضاه yang mana mempunyai hubungan yang pelik dengan Al-Quran. Dimana beliau setiap kali membaca Al-Quran matanya akan dibuka hijab oleh Allah سبحانه وتعالى sehingga dapat melihat Malaikat.

Dan ia berlaku setiap kali membaca Al-Quran akan terzahir dihadapannya Malaikat tetapi bersama dengan kenikmatan yang dikurniakan sebenarnya Saidina Amran bin Hussein mempunyai pelbagai penyakit pada dirinya.

Antara penyakit yang dihadapi oleh Saidina Amran adalah penyakit buasir sehingga memberikan kepayahan kepada Saidina Amran bin Hussein sehingga beliau pergi berjumpa dengan Rasulullah ﷺ untuk mengadu akan penyakitnya.

Maka Nabi ﷺ mengatakan, "Wahai Amran jika kamu bersabar dengan penyakit kamu maka ianya adalah lebih baik bagi kamu." Maka Saidina Amran mengatakan, "Ya Rasulullah, tolong doakan kepada Allah untukku supaya Allah سبحانه وتعالى mengangkat penyakit ini daripada ku."

Lantas sejurus Nabi Muhammad ﷺ berdoa kepada Allah serta merta Allah سبحانه وتعالى mengangkat penyakit yang berada pada Saidina Amran bin Hussein. Maka beliau pulang ke rumah dan seperti biasa melakukan aktiviti kebiasaannya membaca Al-Quran.

Tetapi apabila beliau membaca Al-Quran tidak lagi dapat melihat Malaikat dihadapannya maka ketika itu juga Saidina Amran bin Hussein menjerit dan pergi berjumpa dengan Rasulullah ﷺ dan mewawarkan apa yang terjadi kepada Rasulullah ﷺ.

Rasulullah ﷺ mengatakan, "Wahai Amran, jika kamu bersabar dengan penyakit kamu itu sudah tentu Allah akan teruskan penglihatan kamu kepada Malaikat dihadapan kamu. Apabila kamu sedang menghidapi penyakit maka ketika itu kedudukan dan martabat kamu disisi Allah سبحانه وتعالى setiap saat dan detik meninggi dan meningkat disisi Allah."

Apabila Allah سبحانه وتعالى ingin meninggikan darjat seseorang maka Allah akan memberikan ujian musibah dan penyakit kepadanya. Moga-moga kita dapat bersabar dan redha dengan ujian ataupun musibah yang Allah سبحانه وتعالى keatas kita."

*[Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari]*

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

Berkat Guru2 & Rasulullah

No comments:

Post a Comment